Oleh: Sumaiyyah Ahmad Azwan
TANJONG MALIM, 26 Mac 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memainkan peranan sebagai institusi yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, tetapi turut memperkayakan pembangunan sahsiah dan kerohanian mahasiswa.
Dalam usaha menyemarakkan nilai Islam di kalangan mahasiswa, Pusat Ulul Albab UPSI telah menganjurkan Program Ramadan With Kesua 6.0, yang berlangsung secara atas talian melalui Facebook Live dan Google Meet dari 1 Mac hingga 23 Mac 2025.
Program ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai persatuan mahasiswa, khususnya Gagasan Islam UPSI seperti Kelab Al-Mursyidin, Rakan Siswa Yadim, dan Persatuan Bahasa Arab UPSI.
Bertujuan memperkukuhkan kefahaman mahasiswa terhadap Al-Quran, Ramadan, serta isu kemanusiaan Palestin, program ini bukan sekadar pengisian Ramadan, malah menjadi platform bagi pembentukan pemikiran dan kesedaran sosial dalam kalangan peserta.
Antara aktiviti utama ialah Tadarus Ihtiram, yang menghimpunkan mahasiswa dalam halaqah kecil seramai 8 hingga 10 orang.
Setiap halaqah dipimpin oleh seorang nuqaba’ yang akan membimbing peserta dalam sesi tadabbur selepas tadarus. Aktiviti ini bukan sahaja mengasah bacaan Al-Quran, malah menanam rasa cinta terhadap Kalamullah.
Turut mencuri perhatian ialah Ceramah Ramadan Palestin: Titik Temu Keimanan dan Keprihatinan, yang menampilkan Ustaz Syaari Ab. Rahman, seorang penceramah terkenal dan personaliti TV Al-Hijrah.
Ceramah ini mengetengahkan kepentingan Ramadan sebagai bulan penuh keberkatan serta mengaitkannya dengan isu Palestin, berdasarkan tadabbur Surah Al-Baqarah. Mahasiswa didedahkan dengan penderitaan rakyat Palestin dan digalakkan untuk mengambil peranan dalam memperjuangkan nasib mereka.
Selain itu, program turut diserikan dengan Forum Bicara Khalifah, yang memberi peluang kepada mahasiswa mengasah kemahiran komunikasi serta kepimpinan.
Forum ini diadakan setiap hari Sabtu dengan menampilkan wakil badan kepimpinan Gagasan Islam UPSI dalam tiga siri bertemakan Ramadan, iaitu “Ramadan: Pintu Rahmat”, “Ramadan: Momentum Keimanan”, dan “Titipan Ramadan”.
Diskusi ini memberi ruang kepada peserta untuk berbincang serta memperkukuh pemahaman tentang nilai kepimpinan dalam Islam.



Bagi memperluaskan penyebaran ilmu, program ini turut memperkenalkan Weekly Hadis dan Fiqh Ramadan, yang dikongsi melalui media sosial rasmi Pusat Ulul Albab UPSI seperti Instagram, Facebook, dan TikTok. Inisiatif ini memberikan peluang kepada mahasiswa mendapatkan ilmu agama secara santai tetapi berkesan.
Secara keseluruhannya, Program Ramadan With Kesua 6.0 bukan sahaja berjaya menghidupkan Ramadan dalam kalangan mahasiswa, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan jati diri, kecintaan terhadap ilmu agama, dan kesedaran sosial.
Diharapkan program sebegini dapat diteruskan untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berjiwa besar serta berwawasan Islami.