Oleh: Nur Syaidatul Hidayah Abdullah

TANJONG MALIM, 15 April 2025– Suasana di Student Lounge, Bitarasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi saksi kepada penganjuran program Titian Nilai, inisiatif bermakna anjuran bersama Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dan Pusat Ulul Albab (PUA) yang menghimpunkan seramai 120 mahasiswa UPSI. Program ini menjadi medan yang signifikan dalam merancakkan budaya perkongsian pengalaman dan pemantapan nilai jati diri mahasiswa melalui penglibatan aktif dalam organisasi pelajar.

Mengambil tempat dalam rangkaian mingguan Weekly With KeSUA, program ini bertujuan menyemai semangat kesukarelawanan, memperkukuh keterlibatan mahasiswa serta menyuntik kefahaman tentang nilai-nilai teras Ulul Albab dalam diri setiap peserta.Dengan tema “Perkongsian Pengalaman dan Pembangunan Sahsiah”, program dimulakan dengan bacaan doa serta ucapan aluan sebelum diteruskan dengan amanat oleh Yang Dipertua KeSUA, Muhammad Nor Afzan Emran. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa mahasiswa memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem kampus yang seimbang melalui keterlibatan aktif dalam organisasi serta pengamalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Menurut beliau, mahasiswa holistik bukan hanya mengikuti program secara pasif, tetapi perlu melihat setiap penglibatan sebagai ruang latihan kepimpinan dan pembangunan kendiri yang berteraskan adab, intelek dan spiritual.

Kemuncak program menyaksikan sesi perkongsian khas oleh Muhammad Nor Afzan sendiri yang membawakan pengalaman sebenar sebagai mahasiswa yang aktif dalam organisasi. Perkongsian tersebut membuka mata para peserta terhadap hakikat bahawa persatuan bukan hanya sebuah organisasi pelajar, tetapi merupakan platform pembinaan sahsiah, kemahiran insaniah dan nilai kepimpinan melalui pelbagai projek dan sumbangan komuniti. Nilai seperti kebersamaan, tanggungjawab dan keberanian diterjemah dalam setiap gerak kerja, mencerminkan identiti mahasiswa berjiwa Ulul Albab.

Menurut Pengarah Program, Nur Syaidatul Hidayah Abdullah, Titian Nilai digarap dengan teliti bagi mengukuhkan kefahaman para peserta terhadap nilai-nilai yang  bersifat reflektif, mampu mencetus kesedaran dalaman serta menyedarkan mahasiswa akan potensi sebenar diri sebagai agen perubahan di kampus dan masyarakat.

Program ditutup dengan sesi fotografi bersama ahli dan jawatankuasa pelaksana KeSUA serta Puan Nor Hayati Aziz, Penasihat Kelab Sahabat Ulul Albab yang turut hadir memberikan dorongan dan sokongan penuh. Walaupun diadakan dalam tempoh singkat, Titian Nilai berjaya memberi impak mendalam kepada para peserta dalam memahami dimensi baharu peranan mahasiswa sebagai insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan sosial – selaras dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan berteraskan nilai dan berdaya saing global.