Oleh: Bazli Razak
Tanjung Malim, 24 Januari 2025 — Bidang Kesusasteraan Melayu harus dipelihara dan diteruskan oleh generasi muda pada masa kini, terutamanya dalam dunia yang semakin berkembang pesat dengan teknologi.
Menurut Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia ke-10, YB Datuk Seri Haji Shamsul Iskandar @ Yusre Haji Mohd Akin, Kesusasteraan Melayu bukan sahaja sebagai medium penyampaian nilai-nilai murni dan budaya bangsa, malah memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran kritis serta jati diri kita sebagai sebuah negara yang berdaulat.
“Kesusasteraan Melayu adalah cerminan kepada sejarah, budaya, dan nilai-nilai murni yang telah membentuk negara kita. Ia menjadi medium untuk kita memahami dan menghargai kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat kita.
“Dalam era globalisasi ini, Kesusasteraan Melayu perlu dipertahankan dan dipromosikan agar generasi muda dapat terus menghayati dan mewarisi warisan budaya yang kaya ini.

“Pendidikan kesusasteraan Melayu harus diperkukuhkan di semua peringkat pendidikan bagi memastikan generasi akan datang tidak hanya mewarisi bahasa, tetapi juga nilai-nilai murni yang terkandung dalam karya-karya sastera kita.
“Kesusasteraan Melayu harus diperkasa dengan menerapkan perspektif global dan kontemporari, agar ia terus relevan dan memberi impak kepada pembaca muda serta masyarakat dunia.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Majlis Syarahan Budiman bagi Pelantikan Profesor Dr. Azhar Wahid di Dewan Konvensyen E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Katanya, majlis ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap pencapaian akademik dan penyelidikan Profesor Dr. Azhar, tetapi juga sebagai satu peluang untuk menghayati dan meneroka pengkayaan ilmu, dedikasi serta komitmennya dalam dunia pendidikan.

Majlis Syarahan Budiman di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menyaksikan satu penghargaan kepada tokoh akademik yang amat dihormati dari Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, Profesor Dr. Azhar Wahid menyampaikan syarahan bertajuk ‘Worldview dan Hegemoni Kesusasteraan Melayu’.
“Syarahan tersebut yang disampaikan oleh Profesor Dr. Azhar, jelas menunjukkan bahawa kesusasteraan Melayu perlu diperkasa bukan hanya dalam konteks nasional, tetapi juga dipromosikan di peringkat global.
“Syarahan beliau pasti memberi inspirasi kepada semua yang hadir untuk lebih mendalami serta memahami kesusasteraan dalam memperkukuh budaya intelektual negara,” tambah beliau.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas pelantikan Profesor Dr. Azhar sebagai Profesor di UPSI, yang dianggap sebagai satu pengiktirafan besar terhadap dedikasinya dalam dunia pendidikan, khususnya dalam bidang kesusasteraan.
“Pelantikan ini diharapkan dapat membawa beliau terus memberi sumbangan bermakna dalam memartabatkan bidang kesusasteraan di peringkat yang lebih tinggi,” ujar beliau.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, Majlis Syarahan Budiman ini adalah satu majlis untuk mengiktiraf pencapaian tertinggi dalam karier perjalanan seorang akademia.
“Majlis ini membuka ruang kepada pemikiran yang lebih luas dan memberi sumbang saran bagi kepentingan masa depan universiti dan negara.
Menurut beliau, syarahan ini bukan hanya mengangkat martabat ilmu dari aspek pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga sebagai batu loncatan untuk percambahan idea dalam kalangan warga akademik.
“Perkongsian ilmu daripada tokoh hebat dalam bidang kesusasteraan Melayu oleh Profesor Dr. Azhar adalah bukti pencapaian cemerlang dalam bidang kepakarannya dan amat berguna untuk dikongsi bersama warga universiti dan masyarakat.
“Kesusasteraan Melayu bukan sahaja khazanah warisan yang indah, tetapi turut berperanan sebagai wahana pemikiran dan peradaban bangsa,” jelas beliau.

Tambah beliau, karya-karya agung dalam kesusasteraan Melayu, seperti Hikayat Hang Tuah dan Sulalatus Salatin, menyimpan hikmah, falsafah, dan panduan hidup yang relevan sepanjang zaman.
“Kesusasteraan ini memberi kita pemahaman mendalam tentang sejarah, adat, serta pandangan dunia masyarakat Malaysia,” katanya.
Dalam konteks pendidikan, Md Amin turut menegaskan bahawa kesusasteraan adalah alat berkesan untuk membentuk generasi muda yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, tetapi juga memahami nilai-nilai budaya bangsa.
“Melalui karya-karya seperti Sejarah Melayu dan pantun-pantun lama, generasi muda dapat mengenal akar umbi mereka dan memahami warisan yang perlu dipertahankan,” ujarnya.
“Syarahan yang akan disampaikan oleh Profesor Dr. Azhar diharapkan akan memberi inspirasi kepada semua yang hadir dan membuka peluang untuk percambahan minda dalam kalangan warga akademik serta cendekiawan negara,” ujar beliau.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr. Abdul Rahim Razalli; Dekan FBK UPSI, Prof Madya Dr. Mazura @ Mastura; Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahriil; Pengarah, Pusat Waqaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif.
