Oleh : Camelia Annis , Amir Farhan bin Ahmad Ridzuan, Grace Kho Xiu Hun

Tanjung Malim, 20 Disember 2024 – Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sidang 2024/2025 telah mengadakan satu program sukan atau dikenali sebagai Funfit KAB : Sukan Untuk Semua.

Program ini dianjurkan bagi menyediakan platform untuk menunjukkan bakat dan potensi para penghuni Kolej Aminuddin Baki dalam pelbagai bidang sukan.

Di samping itu, program ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara penghuni kolej melalui semangat persaingan yang sihat.

Beberapa jenis sukan telah dipilih untuk dipertandingkan bagi memastikan penglibatan yang menyeluruh daripada semua penghuni kolej, termasuk sukan fizikal seperti Futsal, Bola Jaring, Bola Tampar dan Sepak Takraw serta sukan elektronik seperti Mobile Legend.

Program Funfit KAB ini telah dihadiri oleh barisan Pentadbiran , Felo, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, penghuni KAB serta penghuni dari kolej-kolej yang lain.

Seramai 300 peserta khususnya penghuni Kolej Aminuddin Baki termasuk blok Palapes telah mewakili blok masing-masing dalam setiap pertandingan.

Program Funfit KAB dimulai dari jam 8:00 pagi di Pusat Aktiviti Pelajar Kolej Aminuddin Baki dengan sesi pendaftaran peserta dan taklimat ringkas bersama ahli jawatankuasa yang bertugas dalam setiap sukan.

Program ini dilaksanakan dengan dua sesi iaitu sesi pertama ialah pertandingan sukan peringkat kumpulan dan sesi kedua ialah pertandingan sukan peringkat akhir yang menentukan kedudukan pertama, kedua dan ketiga dalam setiap sukan dan permainan.

Program Funfit Kab turut mengadakan perlawanan dalam talian yang menggunakan permainan video sebagai platform atau lebih dikenali sebagai e-sport iaitu perlawanan Mobile Legend:Bang Bang (MLBB).

Perlawanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) ini diadakan dalam program FunFit KAB bagi memupuk dan menyokong pembangunan e-sukan, serta memberikan peluang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran strategi mereka dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.

Sewaktu majlis perasmian , Puan Shakila selaku Pegawai Tadbir Kolej Aminuddin Baki juga menyatakan bahawa tujuan utama program FunFit KAB adalah untuk memupuk semangat kekitaan dan mengukuhkan silaturahim antara peserta melalui sukan dan permainan, bukan sekadar menentukan juara.

Silaturahim yang baik dapat mengekalkan keharmonian dan persekitaran yang positif di antara penghuni Kolej Aminuddin Baki.

Adalah menjadi harapan agar program FunFit KAB ini dapat terus menjadi platform yang efektif  serta memberikan manfaat yang berpanjangan kepada semua yang terlibat terutamanya dalam aspek fizikal dan mental sekali gus mengekalkan gaya hidup yang sihat dalam kalangan pelajar.