Oleh: Abdul Azim Kasri, Nur Ain Syuhada’ Mohd Sargawi dan Ummikalsum Mat Lazim
Tanjong Malim, 26 Mac 2025 – Persatuan Tahfiz Qiraat, Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI), Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah berjaya menganjurkan Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Penutup Ramadan Fest 1446H secara dalam talian melalui saluran rasmi YouTube Media PTQ Official.

Program ini merupakan kemuncak kepada siri aktiviti Ramadan Fest yang dianjurkan sepanjang bulan Ramadan, dengan penglibatan seramai 700 penyertaan daripada pelbagai pihak, khususnya mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Malaya serta Universiti Sains Islam Malaysia.
Program yang sarat dengan nilai kerohanian ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh para pelajar yang telah memimpin bacaan tadarus sepanjang Ramadan menerusi program Let’s Khatam Ramadan.


Bacaan tersebut bukan sahaja menjadi simbolik penutup kepada aktiviti tadarus yang telah berlangsung sejak awal Ramadan, malah mencerminkan komitmen dan kecintaan mahasiswa terhadap kalamullah.
Program ini turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai persatuan mahasiswa,termasuk Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UPSI, Persatuan Mahasiswa Sains UPSI, Rakan Siswa YADIM UPSI, Persatuan Pengajian Malaysia UPSI, Persatuan Pengurusan dan Ekonomi Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI, Persatuan Bahasa Arab UPSI, Persatuan Mahasiswa Akademi Pengajian Islam UM, Persatuan Mahasiswa Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM, serta Jawatankuasa Siswa/i Kolej Kediaman Sutera Indah USIM.


Seterusnya, Majlis Khatam al-Quran diteruskan dengan sesi penyampaian tausiyyah rohani yang disampaikan oleh Dr. Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim, Penyelaras Program Tahfiz al-Quran dan Qiraat, UPSI.
Dalam penyampaiannya, Dr. Wan Muhammad Hafizuddin menekankan kepentingan muhasabah diri dalam membentuk jati diri seorang Muslim. Beliau menjelaskan empat aspek penting dalam penilaian amalan, iaitu:
- Aspek Kuantiti Amalan – Menilai sejauh mana amalan dilakukan dari segi jumlah dan konsistensi.
- Aspek Kualiti Amalan – Mengukur mutu serta keupayaan amalan mencapai standard terbaik yang diharapkan.
- Aspek Keikhlasan Amalan – Memastikan setiap perbuatan ibadah dilakukan dengan niat yang tulus dan ikhlas.
- Aspek Keistiqamahan Amalan – Menilai kefahaman untuk berterusan dalam amalan tanpa mengira cabaran yang dihadapi.
Menurut beliau, setiap Muslim perlu bertanya dalam diri, “Adakah setiap amalan yang telah dilakukan itu mencukupi atau tidak, mencapai kualiti yang terbaik atau tidak, mencapai keikhlasan atau tidak serta adakah kita beristiqamah dengan amalan tersebut?”.

Melalui penyampaian tausiyyah ini, para peserta mendapat pendedahan mendalam mengenai peranan muhasabah sebagai medan untuk menilai serta membina jati diri Muslim yang sejati, di mana refleksi yang berterusan merupakan kunci untuk mencapai kualiti kehidupan rohani yang lebih bermakna.
Seterusnya, program diteruskan dengan bermulanya Majlis Penutup Ramadan Fest 1446H. Program Ramadan Fest 1446H merupakan siri aktiviti yang komprehensif dan merangkumi beberapa inisiatif berimpak seperti Majlis Perasmian Program Ihya’ Ramadan dan Ceramah Ambang Ramadan 2025, Forum Perdana Permata Ramadan: Taqwa, Unity and Blessing, Ilmiyyah Talk: Cahaya Nuzul – Hikmah di Sebalik Kalamullah, Ceramah 10 Malam Terakhir: Meraih Redha Ilahi, Let’s Khatam Ramadan, QuranIQ Challenge, Kalam Murabbi dan Pimpinan, Tinta Ramadan: Pertandingan Mencipta Logo Ihya’ Ramadan dan Majlis Khatam al-Quran dan Majlis Penutup Ramadan Fest
Menurut saudari Wan Nafisah Wan Abd Halim, Pengarah Program Ramadan Fest 1446H, beliau menyatakan kesyukuran dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat merancang, melaksanakan dan menjayakan Ramadan Fest 1446H ini iaitu barisan tetamu jemputan, barisan pensyarah, rakan kolaborasi, ahli jawatankuasa pelaksana termasuklah para peserta yang setia menyertai setiap program yang dianjurkan oleh Ramadan Fest 1446H.
Seterusnya, Majlis Penutup Ramadan Fest 1446H diteruskan dengan ucapan perasmian penutup yang disampaikan oleh Dr. Wan Muhammad Hafizuddin Wan Abd Halim, Penyelaras Program Tahfiz Al-Quran dan Qiraat UPSI.
Dalam ucapannya, beliau berharap agar program sepanjang Ramadan Fest 1446H ini mampu menyemai kebaikan dan memberikan manfaat jangka panjang kepada para peserta.
Beliau juga menegaskan bahawa setiap kekurangan perlu dikenalpasti dan diperbaiki, agar penganjuran Ramadan Fest pada masa hadapan dapat mencapai standard yang lebih tinggi serta memberi impak yang lebih mendalam.

Majlis Penutup Ramadan Fest 1446H diakhiri dengan pengumuman pemenang bagi Tinta Ramadan: Pertandingan Mencipta Logo Ihya’ Ramadan dan QuranIQ Challenge. Jutaan tahniah diucapkan kepada para peserta dan pemenang bagi pertandingan tersebut.
Sebagai penutup, marilah kita bersama-sama mengekalkan semangat Ramadan agar sentiasa bersemayam dalam jiwa, walaupun bulan mulia ini telah berlalu.
Semoga setiap amal ibadah yang telah kita laksanakan diterima Allah SWT, dan semoga Ramadan Fest terus berkembang sebagai medan tarbiah yang menyentuh hati serta memperkukuh jiwa setiap tahun.