Oleh: Sharifah Norain Mohd Sharif, Maizatul Najwa Jajuli, Mohamad Syahrizal Ahmad, Mohamad Idris Saidin, Nurulsaidah Abdul Rahim, Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri, Norlinda Daud, Ibrahim Saidin

Tanjong Malim, 17 April 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik telah menganjurkan Program Pemantapan Akademik Kursus Sains Bahan Kolej Vokasional selama dua hari bertempat di Bilik Seminar Jabatan Kimia pada 16 dan 17 April 2025. Program ini melibatkan penyertaan seramai 21 orang pelajar dan 3 orang guru pengiring dari Kolej Vokasional Slim River, diketuai oleh Dr. Jimmy Chong.

Barisan peserta, guru pengiring serta JK Pelaksana Program Pemantapan Akademik Kursus Sains Bahan Kolej Vokasional

Bengkel ini direka bentuk untuk menyokong pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan memberikan penekanan kepada pendekatan hands-on learning dan pengalaman makmal sebenar. Enam slot pembelajaran intensif telah disampaikan oleh barisan pensyarah UPSI yang berpengalaman, merangkumi pengenalan kepada bahan, ikatan atomik, rajah fasa, struktur kristal asas, sifat mekanikal logam dan bahan lain, serta sesi amali ujian ketegangan (tensile test) terhadap bahan aluminium.

Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Jabatan Kimia, Dr. Mohamad Syahrizal bin Ahmad menegaskan komitmen UPSI untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama institusi TVET sebagai usaha memperkasa pelajar melalui keseimbangan antara penguasaan teori dan kemahiran amali.

Sesi pemantapan konsep sains bahan melalui sesi pengajaran dan bimbingan berterusan bersama pensyarah Jabatan Kimia, FSM

Penyelaras program, ChM Dr. Sharifah Norain Mohd Sharif, menyatakan bahawa penglibatan aktif peserta sepanjang dua hari menunjukkan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman langsung (experiential learning). Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa dan tenaga pengajar Jabatan Kimia yang telah menjayakan program ini.

Bengkel ini turut menyelitkan aktiviti kumpulan secara kolaboratif dan penglibatan aktif. Pelajar menunjukkan semangat kerjasama yang tinggi semasa sesi sumbangsaran, pembentangan poster, dan perbincangan mengenai pelbagai jenis bahan seperti logam, seramik, polimer dan komposit.

Sesi pembentangan pula memberikan ruang kepada pelajar untuk mengasah kemahiran komunikasi dan pengucapan awam. Beberapa kumpulan tampil mempersembahkan hasil kerja mereka di hadapan rakan-rakan dan fasilitator, lengkap dengan penerangan visual dan fakta berkaitan bahan yang dikaji. Aktiviti ini bukan sahaja menguji pemahaman konsep, malah turut membina keyakinan diri dan kerjasama kumpulan.

Kepelbagaian aktiviti kumpulan secara kolaboratif bagi meningkatkan penglibatan aktif pelajar

Antara aktiviti yang paling menarik tumpuan peserta ialah sesi amali ujian ketegangan (tensile test) yang memberi peluang kepada pelajar untuk melihat secara langsung ciri-ciri mekanikal bahan logam diuji menggunakan peralatan sebenar di makmal. Selain itu, sesi kuiz interaktif berasaskan digital turut mencetuskan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Penglibatan pelajar yang aktif sepanjang aktiviti ini membuktikan bahawa pendekatan gamifikasi mampu meningkatkan motivasi dan tumpuan pelajar terhadap kandungan yang disampaikan.

Menurut Dr. Jimmy Chong, wakil guru dari Kolej Vokasional Slim River, “Program seperti ini amat bermanfaat dalam meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep sains bahan secara lebih mendalam. Pendekatan hands-on dan interaksi terus dengan tenaga pakar memberi pengalaman yang tidak ternilai kepada pelajar kami.”

Sesi amali ujian ketegangan (tensile test) menggunakan peralatan saintifik sebenar di makmal Fakulti Sains dan Matematik, UPSI.

Program ini bukan sahaja memberikan nilai tambah dari segi penguasaan ilmu dan kemahiran teknikal, malah turut memupuk minat mendalam pelajar terhadap bidang sains bahan. Majlis penutup menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada semua peserta dan guru pengiring sebagai simbol penghargaan dan kenang-kenangan.