Gambar bersama penghuniGambar bersama penghuni

Oleh: Syaza Anwar dan Afiqah Sarbaini

Tanjong Malim, 21 Oktober 2025 – Hidup sebagai penghuni kolej bukan sekadar menumpang tempat tinggal, akan tetapi datang dengan tanggungjawab, peraturan dan adab yang perlu dijaga bagi memastikan suasana kolej kekal harmoni.

Exco Hal Ehwal Residensi, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar sidang 2025/2026, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan program MesraKUO : Temu Akrab Warga KUO yang merupakan sebuah program perjumpaan antara penghuni bersama barisan pentadbir, felo kediaman serta Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar selama 2 hari berturut iaitu pada 15&16 Oktober 2025 , bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar.

Program MesraKUO : Temu Akrab Warga KUO ini dianjurkan sebagai platform untuk memperjelas garis panduan, etika yang wajib difahami oleh setiap penghuni sekaligus memperkenalkan barisan pentadbir, felo kediaman serta barisan kepimpinan. Melalui sesi ini, pelajar diberi ruang untuk lebih memahami peranan mereka dalam membentuk komuniti kolej yang selamat, berdisiplin dan saling menghormati.

Program ini dimulakan dengan ucapan aluan daripada Encik Mohd Alamin bin Ismail yang menekankan kepentingan kehidupan harmoni dalam kolej serta penghayatan nilai murni dalam kehidupan seharian sebagai penghuni. Beliau juga mengingatkan bahawa kejayaan sesuatu komuniti bergantung kepada kerjasama dan sikap bertanggungjawab setiap individu.

Sesi diteruskan dengan ucapan En. Muhammad Hafiz bin Abd Manap yang menerangkan berkaitan garis panduan dan etika yang perlu dipatuhi sebagai penghuni KUO bagi memastikan keselamatan dan keamanan kolej terjamin dan seterusnya membentuk penghuni menjadi individu berdisiplin serta cakna terhadap peraturan kolej.

Gambar En. Alamin 
Gambar En. Hafiz
Gambar Dr. Saufi

Menurut ChM. Dr Muhammad Saufi bin Rosmi , pertambahan jumlah penghuni dalam satu rumah daripada 6 kepada 12 orang telah membawa kepada pelbagai ragam dan situasi yang mencabar dalam kalangan penghuni.

Justeru, penghuni disarankan untuk saling mengenali, mengutamakan kepentingan bersama dan mengamalkan sikap bertolak ansur demi mewujudkan suasana kolej yang harmoni.

Dengan berakhirnya program MesraKUO : Temu Akrab Warga KUO, diharapkan agar program ini dapat menjadi wadah untuk memupuk semangat kekitaan sekaligus dapat mengeratkan silaturahim antara penghuni dengan barisan pentadbir, felo dan MMK dalam menjadikan KUO sebagai komuniti kolej yang harmoni, bersatu padu dan berdaya saing, selari dengan nilai-nilai murni serta aspirasi UPSI.