Oleh: Ahmad Daniel Syah Ahmad Effendi

Tanjong Malim, 17 Januari 2025 – Kelab UPSI Global Buddies Sidang 2024/2025, dengan kerjasama Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah berjaya menganjurkan Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 bertemakan ‘Year of the Snake, a symbol of spirituality, reproductive and longevity‘. Majlis makan malam ini telah menarik penyertaan lebih 200 pelajar dari pelbagai negara.

Pengarah program, Loh Min Shan, menyatakan bahawa sambutan ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pelajar antarabangsa di UPSI. Beliau menambah, “Semasa majlis makan malam ini, peserta dari pelbagai negara dan budaya diberi peluang untuk saling berkenalan dalam suasana santai. Sambutan ini turut mengetengahkan elemen budaya masyarakat Cina di Malaysia, di samping memberikan peluang kepada pelajar antarabangsa dari negara China yang tidak dapat pulang, untuk meraikan perayaan bersama rakan-rakan dan ahli Kelab UPSI Global Buddies.”

Bagi barisan pentadbiran Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC) UPSI pula, tujuan penganjuran Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 ini adalah untuk memastikan para pelajar antarabangsa, terutamanya dari negara China, berasa selesa dan seperti berada di tanah air mereka sendiri. Hal ini menjadi lebih bermakna memandangkan sebilangan daripada mereka tidak dapat pulang ke negara asal untuk meraikan perayaan istimewa ini. Selain itu, pihak pentadbiran IMC turut berhasrat untuk memperkenalkan keunikan tradisi dan cara sambutan perayaan di Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat negara ini.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Abdul Rahim Razalli. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menzahirkan rasa bangga dan gembira melihat semangat penyatuan yang terjalin dalam kalangan pelajar. Beliau berkata, “Saya menyeru agar kita semua meluangkan masa untuk mengenangkan keberkatan yang diperoleh dari tahun lalu dan menetapkan harapan yang tinggi untuk tahun baharu ini. Biarlah sambutan ini menjadi peringatan tentang kekuatan hubungan sesama kita dan keindahan perpaduan dalam kepelbagaian bangsa. Tahniah diucapkan kepada Kelab UPSI Global Buddies atas kejayaan menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina ini. Semoga usaha murni seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bukan sahaja untuk memperkukuh hubungan antarabangsa, tetapi juga bagi menyemai rasa hormat dan kefahaman mendalam terhadap keunikan budaya yang berbeza. Sesungguhnya, keindahan tradisi ini wajar diraikan dan dihargai sebagai asas kukuh kepada perpaduan sejagat.”

Hadir sama dalam majlis ini ialah barisan kepimpinan tertinggi IMC yang diketuai oleh Pengarah IMC, Profesor Dr. Ramlee Ismail. Turut menyertai ialah Timbalan Pengarah 1 IMC, Dr. Nor Fadila Kasim yang juga penasihat Kelab UPSI Global Buddies, bersama-sama Timbalan Pengarah 2 IMC, Dr. Siti Nor Amalina Ahmad Tajuddin. Kehadiran mereka turut diiringi oleh barisan Penyelaras Antarabangsa IMC serta anggota pentadbiran yang lain. Tidak ketinggalan, saudara Tan Yi Xiang, Exco Akademik dan Kerjaya, Majlis Perwakilan Pelajar Sidang 2024/2025 UPSI, turut hadir sebagai wakil pelajar etnik Cina.

Gimik perasmian penyalaan mercun oleh Profesor Dr. Abdul Rahim dan Profesor Dr. Ramlee menjadi simbolik kepada bermulanya tahun baharu bagi masyarakat Cina. Penyalaan mercun tersebut bukan sahaja mencerminkan tradisi dan budaya masyarakat Cina, malah turut menyerlahkan semangat perpaduan dalam meraikan kepelbagaian budaya. Semoga Tahun Ular ini membawa keberkatan, kemakmuran, dan kegembiraan kepada kita semua. 

Acara utama majlis termasuk persembahan tradisional masyarakat Cina seperti tarian singa, tarian kipas, dan tarian payung yang memukau perhatian peserta yang hadir.. Kelab Destar Limar turut memeriahkan majlis dengan persembahan kreatif mereka, sementara pelajar antarabangsa tidak ketinggalan mempamerkan bakat melalui persembahan nyanyian. Tradisi “Yee Sang,” yang menjadi adat masyarakat Cina di Malaysia, turut diperkenalkan kepada pelajar antarabangsa sebagai lambang keberkatan dan tuah. Majlis turut mencapai kemuncaknya dengan acara cabutan bertuah serta pertandingan peragaan pakaian tradisional terbaik, yang menambahkan lagi keceriaan suasana. 

Dr. Nor Fadila turut menzahirkan penghargaan atas kelancaran program ini. Menurut beliau, “Saya berbangga kerana program ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna seperti yang dirancang. Majlis seperti ini mengingatkan kita tentang keindahan kepelbagaian dan pertukaran budaya yang wujud di seluruh dunia. Tahun Baharu Cina bukan sekadar perayaan untuk yang merayakannya, tetapi juga peluang untuk kita semua belajar, berhubung, dan berkembang bersama.”

Majlis makan malam yang berlangsung penuh warna-warni ini bukan sahaja meraikan budaya masyarakat Cina, malah turut memperkukuh perpaduan dalam kalangan pelajar antarabangsa di UPSI. Sambutan ini sekali lagi membuktikan keindahan perpaduan dalam kepelbagaian budaya, yang menjadi teras utama universiti ini, sejajar dengan visi dan harapan Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff.