Oleh: Krestyelah Ubid

Tanjong Malim, 12 Februari 2025 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) bersama Majlis Perwakilan Pelajar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sesi 2024/2025 telah menganjurkan Program Dapur Kasih yang Bitara, sebuah inisiatif kebajikan yang bertujuan membantu meringankan beban mahasiswa yang memerlukan bantuan makanan.

Majlis ini menjadi bukti komitmen UPSI dalam menyediakan platform dan fasiliti yang sesuai untuk pelajar menguruskan sumber kewangan dengan lebih cekap.

Usaha ini dilihat sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan keupayaan mahasiswa dalam menggerakkan aktiviti berkaitan kebajikan pelajar, program pembangunan, dan inisiatif komuniti.

Prof. Dr. Norkhalid Salimin selaku Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) memaklumkan bahawa program ini telah berlangsung pada 12 Disember 2024, 15 Januari 2025, 05 Februari dan 12 Februari di Masjid Al Mursyidin , Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.

Inisiatif ini bukan sahaja memastikan kebajikan mahasiswa terbela, tetapi juga seiring dengan aspirasi Naib Canselor UPSI, Prof. Dauk’ Dr. Md Amin Md Taff, yang menekankan kepentingan nilai Adab, Akhlak, dan Akademik dalam pembangunan pelajar.

Menurutnya, program ini menggabungkan kakitangan BHEP, Majlis Perwakilan Pelajar, Pusat Islam, serta mahasiswa yang menjadi sukarelawan dalam penyediaan dan pengagihan makanan.

Sebanyak 30 sukarelawan terlibat, bermula seawal 7:30 pagi hingga 2: 30 petang, dalam proses memasak, mengedarkan makanan, serta membersihkan peralatan selepas selesai program. Makanan berjumlah 1500 bungkus telah diedarkan dengan jayanya kepada pelajar UPSI.

“Inisiatif yang dilaksanakan ini bukan sahaja membantu meringankan beban mahasiswa yang berdepan kesulitan kewangan, tetapi juga menanamkan nilai murni seperti sikap peduli, semangat kesukarelawanan, serta kemahiran sosial yang berguna untuk masa depan para pelajar yang terlibat ketika menjayakan program Dapur Kasih Bitara,” katanya.

Program Dapur Kasih Bitara yang dilaksanakan ini bukan sahaja membantu mahasiswa mendapatkan makanan percuma, program ini turut  memupuk kerjasama, nilai murni dan hubungan yang erat di antara kakitangan universiti dan pelajar sepanjang melaksanakan program.

Program ini bukan sekadar menyantuni  mahasiswa yang memerlukan, tetapi juga mencerminkan keprihatinan UPSI terhadap kesejahteraan pelajarnya. Semoga inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai mahasiswa mendapat manfaat pada masa akan datang.