Oleh: Nurhidayah Mahmusa

SABAH, 28 Februari 2025 – Persatuan Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Program Outreach Philantrophy D’Bayu yang bertemakan “Kebajikan” sebagai inisiatif untuk memperkukuh semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat melalui pelbagai aktiviti seperti sumbangan amal, program pendidikan, dan khidmat sosial.

Program ini telah berlangsung selama 8 hari iaitu bermula 21 hingga 28 Februari 2025 yang telah dijalankan di 10 zon yang melibatkan 22 daerah iaitu Ranau, Telupid, Tawau, Keningau, Nabawan, Tenom, Kota Belud, Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Putatan, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Kinabatangan, Sandakan, Tongod, Kota Marudu, Kudat dan Pitas.

Fasilitator Program Outreach bersama kakitangan dan pelajar SMK Bukit Garam 2, Kinabatangan, Sabah

Antara pengisian Program Outreach Kali ini ialah memperkenalkan UPSI dan Persatuan IKSAS dan memberikan bantuan kebajikan dari segi masa, tenaga dan sumbangan keperluan asas kepada golongan yang memerlukan.

Program ini juga ada  mengadakan aktiviti khidmat masyarakat seperti gotong-royong, ceramah kesihatan, pengagihan barangan terpakai dan banyak lagi untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.

Majlis Perasmian Program Aurora Kasih bersama Majlis Belia Sabah di Tawau, Sabah

Pengarah Program Outreach Philantrophy D’Bayu 2025, Muhammad Nazhif Jaili berkata, program Outreach IKSAS ini bukan sekadar satu aktiviti kesukarelawanan semata-mata, malah ia berfungsi sebagai jambatan yang mengeratkan hubungan antara mahasiswa dan mahasiswi UPSI dengan komuniti dan masyarakat.

Saya harap program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan agar manfaatnya dapat dinikmati oleh lebih ramai pihak”

Penyerahan sumbangan bagi Program Harapan untuk Generasi di Tuaran, Sabah

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Garam 2, Kinabatangan, Puan Hajah Kertina binti Madun sebagai perasmi Program Outreach Lembayung Ihsan berkata, “Semangat kesukarelawan yang ditunjukkan bukan sahaja memberi manfaat material tetapi lebih daripada itu.

Semoga program sebegini terus membawa senyuman dan harapan kepada generasi yang memerlukan.” katanya.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmy Yahya sebagai perasmi Program IKSAS Waves of Kindness berkata, program ini bukan sahaja dapat memberi motivasi dan membuka minda masyarakat tetapi program IKSAS ini juga dapat membina budaya masyarakat yang prihatin.

Majlis Belia Sabah (MBS) juga menunjukkan sokongan padu kepada pembangunan belia di negeri ini dengan menaja program Outreach IKSAS ini.

Penajaan ini membuktikan kepercayaan MBS terhadap program IKSAS dalam menjayakan program yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif yang memupuk kepimpinan, kemahiran, dan jati diri.

Ceramah Kesihatan bagi Program Protect Yourself with Love (PYL) di Keningau, Sabah

Kerjasama ini diharapkan dapat memberi impak positif kepada pembangunan sosial dan ekonomi belia Sabah, selaras dengan visi MBS untuk melahirkan generasi yang progresif dan berdaya saing.

Setiap zon mengadakan pelbagai aktiviti dan slot pengisian bertemakan kebajikan yang memberi manfaat serta memupuk kesedaran sosial dalam kalangan peserta. 

Peserta juga kelihatan gembira dan bersemangat ketika menyertai setiap aktiviti kebajikan yang dianjurkan, sekali gus menambah pengalaman serta menyemai sikap prihatin dan tanggungjawab dalam membantu masyarakat yang memerlukan di Sabah.