Oleh: Mohd Ikhwan Hadi Yaacob
Kuala Lumpur, 22 Februari 2025 – Fakulti Sains dan Matematik (FSM) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dianugerahkan anugerah khas oleh Eurobusiness-Haller Poland bersempena Asian Youth Innovation Awards (AYIA) 2025 yang telah diadakan pada 20-22 Februari 2025 bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur melalui inovasi “Geo Xpert Set”.
Produk sama turut menerima pingat emas merupakan hasil inovasi tiga penyelidik diketuai Nur Syafiqah Bakhtin, bersama-sama Nur Rabiyatul Najwa Yuzaimi dan Nik Nur Faiqah Nik Asnidi bawah seliaan Prof Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin.

Set Geo Xpert ini mengandungi tiga kit pembelajaran matematik yang terbukti mampu memberikan kefahaman kepada pelajar tingakatan 1 hingga 3 dalam topik pengukuran dan geometri.

Satu lagi hasil inovasi pelajar yang turut dianugerahkan pingat emas dalam acara yang sama adalah produk “Brain-Booster Cube” yang telah dihasilkan oleh Nur Farah Diba Hamid, Elianabeth Bilung, Nur Ilyanna Noor Hisham Dan Muhammad Nur Aiman Noor Azhar di bawah seliaan Prof. Madya. Ts. Dr. Nurul Bahiyah Abd Wahid dan Dr. Ahmad Muslihin Ahmad.

Inovasi berkonsepkan permainan ini mampu untuk membantu murid dalam mata pelajaran sains dalam mengingati jadual berkala.
Selain itu, dua lagi hasil inovasi pelajar turut dianugerahkan pingat perak dan pingat gangsa iaitu “Homolog Odyssey” dan “Submalearn”.

Hasil inovasi yang diketuai Farah Aqilah Mohd Khairul Anuar dan disertai Nur Atasya Yusoff, Auji Damia Awang, Nurin Nasuha Mohd Safre dan Nurini Zafirah Ahmad Syarif di bawah seliaan Prof. Madya Dr. Saripah Salbiah Syed Abdul Azziz dan Dr. Siti Nur Akmar Mohd Yazid ini juga berbentuk permainan dalam pembelajaran yang juga terbukti membantu pelajar memahami konsep dengan cara santai.

Manakala “Submalearn” pula telah membantu pelajar mendalami dan menghayati konsep Archimedes secara lebih tepat dan mudah, hasil ciptaan Izzah Hazziqa Masalan dan Nur Syazwina Che Aziz di bawah seliaan Dr. Mohd Syahriman Mohd Azmi.
Menurut dekan FSM, Prof. Madya Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah, fakulti sentiasa konsisten dalam melahirkan produk-produk inovasi yang diperlukan oleh pasaran bidang pendidikan STEM yang serba mencabar hari ini.

“Walaupun bidang STEM semakin kurang diminati oleh anak muda, adalah menjadi tanggunjawab kita semua untuk memastikan pembelajaran STEM ini menarik dan menyeronokkan”, ujar beliau.
Dalam pada itu, peluang sebegini merupakan pentas terbaik dalam memastikan kemenjadian pelajar terus dijulang dan digilap.

Penasihatan professional dan penyeliaan secara klinikal oleh barisan pensyarah merupakan proses mentoring yang amat berkesan kepada pelajar bagi memastikan bakat dan potensi pelajar terus dapat digilap di peringkat tertinggi.