Oleh: Dr. Vestly Kong Liang Soon & Wan Noor Azizah binti Wan Shamsuri

Seri Iskandar, Perak – Pada 9 November 2024, seramai lima orang mahasiswa daripada Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas telah menghadiri sebuah makan malam bersempena dengan penutupan program Asean Data Science Explorers (ASEAN DSE) yang bertempat di Universiti Teknologi Petronas (UTP) Seri Iskandar, Perak. Makan malam ini diadakan untuk memberikan penghargaan kepada semua universiti yang berkolaborasi dalam menjayakan program Asean Data Science Explorers (ASEAN DSE).

Pada 25 Mei 2024, sebuah bengkel bawah anjuran Exco Akademik dan Kerjaya Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas telah dijalankan yang mana bengkel ini bertujuan untuk membantu pelajar AT10 untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang teknologi digital. Tambahan pula, bengkel ini juga dilaksanakan untuk memberikan peluang yang terbaik kepada pelajar AT10 dalam latihan teknologi serta membantu mereka untuk menyertai pertandingan penjelajah Sains Data ASEAN di peringkat antarabangsa.

Dr. Vestly Kong Liang Soon selaku penasihat persatuan berpendapat bahawa kolaborasi antara Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas dan Universiti Teknologi Petronas (UTP) perlu diteruskan kerana program ini boleh memberikan impak kepada perkembangan pelajar AT10. Tambahan pula, program ini juga mampu memberikan ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi daripada kuliah harian mereka. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Universiti Teknologi Petronas (UTP) atas jemputan untuk berkolaborasi dalam program yang berimpak ini. Tahniah diucapkan kepada Muhammad Azizuddin Ab. Aziz selaku pengarah program dengan sokongan daripada Exco Akademik dan Antarabangsa atas usaha mereka dalam menjayakan pelaksanaan bengkel ini. Harapan supaya usaha kerjasama ini dapat dikekalkan dan diteruskan pada sidang yang akan datang.