Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 19 Disember 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan satu inisiatif berimpak tinggi menerusi Program SciensationBIO: Nurturing 100 Young Scientists yang bertujuan membudayakan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia.
Majlis pelancaran program ini telah disempurnakan dalam satu acara penuh bermakna yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pelajar, pendidik, dan rakan strategik.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Prof. Dr. Suriani Abu Bakar program ini bukan sahaja memberikan peluang kepada pelajar untuk merasai pengalaman pembelajaran berasaskan sains yang sebenar, tetapi juga memupuk keyakinan mereka untuk menceburi bidang STEM secara lebih mendalam.

“Kami yakin bahawa dengan pendekatan inkuiri, pelajar akan lebih terinspirasi untuk terus bertanya dan meneroka bidang-bidang baharu.”
“Dengan sokongan dana sebanyak RM35,000, yang terdiri daripada RM24,000 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta RM11,000 daripada Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd., program ini menampilkan komitmen UPSI untuk menyumbang kepada pembangunan modal insan berkualiti.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmian program tersebut yang diadakan di Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Tambah beliau, komitmen UPSI melalui program ini adalah untuk memastikan generasi muda mendapat pendedahan terbaik dalam sains dan teknologi.
“Kami ingin membangunkan saintis muda yang mampu menjadi pemimpin masa hadapan dalam bidang STEM, selaras dengan aspirasi negara,” ujar beliau.
Program ini merupakan anjuran Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, Kolej Ungku Omar (KUO) UPSI dengan kerjasama rakan strategik iaitu Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn. Bhd.

Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Usahasama Strategik Bioeconomy Corporation Sdn. Bhd, En. Fadzrin Anwar Abdul Aziz berkata, program ini bukan sekadar program pendidikan biasa, tetapi ia adalah satu usaha penting yang bertujuan menyokong hasrat kerajaan dalam memperkukuh penglibatan generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM).
“Program ini juga disambut baik oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), selaku kementerian yang menyelia bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) di Malaysia.”
Tegasnya, program seperti ini mampu melahirkan bakat-bakat muda yang berpotensi tinggi dalam bidang STEM dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan inkuiri, yang menekankan aktiviti praktikal, penerokaan, dan penyiasatan, bukan sahaja dapat membina kemahiran saintifik pelajar, malah ia juga memupuk daya pemikiran kritis dan kreatif yang sangat penting untuk menghadapi cabaran masa depan,” kata beliau.
Program ini melibatkan 10 buah sekolah terpilih dari negeri Perak dan Selangor, iaitu SMK Jelapang Jaya, SMK Seri Perak, SMK Sri Tapah, SMK Felda Besout, SMK Slim, SMK Slim River, SMK Methodist, SMK Bandar Behrang 2020, SMK Kalumpang, dan SMK Gedangsa.
Sebanyak lima modul ini telah dirangka oleh sepuluh saintis UPSI, termasuk Prof. Madya Dr. Shakinaz Desa, Prof. Madya Dr. Shakirah Samsudin, Prof. Madya Dr. Lee Tien Tien, dan lain-lain. Selain itu, 40 fasilitator telah menjalani “Training of Trainers” untuk memastikan kelancaran pelaksanaan aktiviti.
Sebanyak 100 orang pelajar yang terpilih sebagai saintis muda telah diberi peluang untuk meneroka proses pembelajaran saintifik di dalam dan luar makmal kampus UPSI.
Mereka turut didedahkan kepada teknologi terkini, termasuk realiti maya (VR), serta menghasilkan kandungan kreatif melalui modul “TikTok Challenge: I’m the Future Scientist”.
Turut hadir Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FSM UPSI, Prof. Madya ChM. Dr. Noorshida Mohd Ali; Pengetua Kolej Ungku Omar UPSI, Prof. Madya. Dr. Mohd Nizam Hj Nasrifan